>

Monday, September 13, 2010

lima hari aku menjaga adik bongsuku. persoalan dan pertanyaan hati membuihkan kerisauan di lubuknya. aduh. khabar hanya kudengar dari ayahku, namun tetap tidak puas.

'doktor dah buang darah beku, nk tunggu ummi sedar, kalau belum ok, kena operate sekali lagi' ini khabar pertama yang ku terima setelah sekian lama aku nanti....

tengkorak ummi pecah. lagi sikit nak kena otak. tapi dah operate' aduh. hati mengeluh lagi. risau.

'ummi dah sedar. alhamdulillah tak ada apa-apa' khabarnya pada hari kedua ibuku di ICU. aku menitiskan air mata saat itu juga. tak terbendung lagi kesyukuran pada yang Maha Esa.

'mata kanan ummi dah tak nampak' tidak lama selepas itu, ini pula khabar yang kuterima. pedih. bartambah bayangan buruk di dalam fikiranku ini.

tapi, aku harus tabah. seorang demi seorang adikku aku jumpa di wad yang berlainan untuk menyampaikan berita itu. mereka menangis. terlalu pilu. air mata terpaksa aku tahan, tak mahu mereka lemah lagi.

esoknya, seorang demi seorang adikku dibenarkan pulang. yang terakhir keluar, adik bongsuku. personalitinya berubah sama sekali. tiada lagi gelak tawa dan gurauan manja. berubah menjadi pendiam. sepatah kutanya, sepatah yang dijawab. mungkin dia mengalami kejutan.

saat dia dibenarkan keluar hospital, kami adik beradik pergi melawat ummi pula. detik yang kutunggu.

aku memberi laluan kepada adik-adikku pergi melihat ibu dahulu memandangkan hanya 2 orang dibenarkan melawat pada satu-satu masa. setiap yang keluar pasti dengan air mata. aduh. aku bertambah risau. kini giliranku.

waleed menunjukkan katil ummi. aku lihat susuk yang berada di atas katil itu. tidak berambut. tembam. lebam sini sana. tiada langsung iras ibuku. air mata yang kutahan jatuh juga akhirnya. namun cepat-cepat kuseka, tidak mahu ada yang terlihat. aku cuba beriak tenang. namun dia tetap tahu hati aku pilu.. ya! dia memang ibuku!

pabila tiba sang malam, ibu tidak tidur lena. dia meminta tubuhnya dialih agar lebih selesa. namun, tidak banyak yang boleh kubantu kerana dia tidak boleh banyak bergerak. kedua-dua kakinya patah.

melihat aku terlena di atas kerusi, dia mengejutkanku. menyuruhku mengalihkan kakinya sedikit. katanya' "tolak sikit badan ummi, tak muat nanti kau nak tidur". aduh ibu, hatimu sungguh mulia. kenapa aku juga yang kau fikirkan?

suatu malam, ibu lapar. dia meminta air panas kerana perutnya sudah masuk angin. tapi waktu itu tiada air panas untuk kubancuh. yang ada cuma mesin air di lobi hospital. kaki mahu melangkah, namun kau tegah. katanya, kalau takut jangan pergi. aduh. sekali lagi kau dahulukan aku.. aku bertegas juga pergi. mujur tiada apa yang terjadi.

(...)

sadid sigaraga