27 Ogos 2010.
7.30pagi.
Aku masih berkemas. Walaupun kata mereka, jam 8.00 pagi, semua mesti sudah ada di Pheonix. Entah, keadaan tidak tepat masa ini sudah menjadi kebiasaan untuk kami, keluarga debat. Serik menjadi yang pertama, biarlah kali ini aku pula yang
lambat. steady.
Telefon berdering. Senyum. Nama adik lelaki aku tertera. Aku sudah dikhabarkan bahawa dia akan pulang hari ini, hingga raya nanti.
"Kau tak nak balik ke?" Soalan pertama darinya.
"Hmm. Nanti kot. Harini sampai 29 haribulan aku ada debat"
"Tak habis-habis debat tu. Orang jauh pun dah balik taw"
Senyum. Pasti dia sedang rindu aku. Tapi malu mahu mengaku. Senyum lagi.
10.00pagi.
Sudah tiba di tapak perkampungan debat. Hari masih awal. Masih banyak IPTA yang belum tiba. Kami mengemas pakaian dan berehat. Hingga tengah hari, barulah program bermula.
28 Ogos 2010.
7.40 pagi.
Tertera beberapa missed calls dari ummi. Aku cuba menelefonnya kembali. Panggilan pertama terbiar sepi, tiada yang menjawab. Aku cuba lagi.
"Buat apa tu?" Soalan ummi yang pertama.
"Err. Tak ada apa. Kejap lagi baru nak pergi dewan."
"Yah, orang kampung telefon. Diorang kata Pokde sakit. Dah tenat."
"Allah. Ummi nak balik kampung lah ni?"
"A ah. Kalau apa- apa jadi, kau boleh balik tak?"
"Boleh rasanya."
"Nanti kau balik naik bas lah. Suruh Pakitam ambik dekat Tangkak."
"Yelah. Nanti apa-apa ummi bagitaw lah."
3.00 petang.
Di dewan masih riuh. Penceramah masih belum tiba. Aku sempat memindahkan lagu-lagu raya dari teman-teman. Ahh. Tak sabar rasanya mahu pulang. Tiba-tiba aku jadi tersangat rindu.
Telefon berdering lagi. Nama Waleed pula tertera. Aku senyum lagi. Jangan kata Waleed pun sudah rindu.
Aku berlari keluar. Dengan kebisingan peserta debat, tidak mungkin aku dapat bercakap dengan jelas.
"Yah, diorang macam mana?" Soalan pertama Waleed.
Aku masih samar. Diorang siapa? Macam mana apa?
"Hah?"
"Lah. Kau tak tahu ke?"
Waktu itu otak aku terimbau perbualan aku dan Ummi pagi tadi. Allah! Pokde meninggal?
"Diorang accident!"
Kejutan yang amat membuatkan aku terdiam. Perlahan-lahan air mata jatuh. Lain yang aku fikirkan, lain pula yang terjadi. Allah!
"Diorang macam mana sekarang?"
"Tak tahu. Pak Itam tak bagitahu. Waleed call diorang semua tak jawab. Kau kat mana ni?"
"Ada debat. Tak ikut diorang balik kampung pagi tadi."
"Tak pe lah. Nanti waleed call Pakitam."
Terasa pantas perbualan tadi. Tak tahu apa yang perlu aku lakukan. Aku masuk semula ke dewan. Mata sudah bengkak dek air mata.
Orang pertama yang perasan adalah Kak Syebbi. Belum sempat aku buka mulut, dia ajak aku keluar kembali. Aku mula bercerita kepadanya dalam emosi yang tak terkawal. Kerisauan aku mendesak Kak Syebbi untuk menghantar aku pulang ke kampung. Segera dia menelefon 'Senior atasan' untuk meminta izin.
Aku, Kak Syebbi dan Kak Fizah segera menuju ke Hospital Muar, di mana ibu, adik-beradiik, dan makcik ku ditempatkan.
5.00 petang.
Kami singgah di Sekolah Menengah Sains Rembau untuk menjemput adik aku pulang dari asrama. Ya, hari itu bukan hari untuk pelajar asrama pulang. Tapi aku terpaksa.
"Telefonlah warden. Cakap nak bawak aku balik" Cadang adik aku.
"Mana nombor dia? Kau ada?"
"Mintak lah kat Ummi."
Allah. Aku terdiam mendengar nama Ummi. Tak mungkin Ummi akan membalas mesej dalam keadaan sekarang ini. Maka aku terus masuk ke dalam kereta. Dan Husna cuma menurut. Dia belum ku beritahu tentang kemalangan tersebut. Aku tak mahu emosinya pula yang terganggu nanti. Biar nanti setelah tiba di hospital baru aku ceritakan kepadanya.
6.30 petang.
Hospital Muar. Waktu aku tiba, Mak Long sudah berada di pintu masuk utama. Sewaktu dia terlihat aku dan Husna, terus dia cakap..
"Mak kau diorang dah bawak pergi Hospital JB. Baru kejap tadi pergi. Kakak kau kat Wad 8, adik kau pun. Yang Saadah tu dengan Tasnim. Mak Cik Salmi pun kat situ. Adik kau yang lelaki kat Wad 6. Yang kecik tu dekat Wad 3, dengan Shefa'."
Waktu itu satu pun tidak tercatat di fikiran aku. Yang aku risaukan adalah Husna. Pasti dia terkejut. Belum sempat aku khabarkan padanya, Maklong pula sudah 'terlalu jujur'. Waktu itu Husna sudah menangis.
Terus aku bawanya masuk ke dalam. Di lobi, aku terjumpa Pakitam dan Makndak. Makndak sudah menangis. Dan Moksu datang memeluk aku. Dia masih tersedu-sedu.
"Kenapa jadi macam ni?" Dalam esak tangis, dia sempat mengadu.
"Sabar lah, doa banyak-banyak."
Aku terus menuju ke Pakitam dan Makndak.
Menurut cadangan mereka, aku mungkin lebih perlu untuk adik yang kecil, di Wad 3. Untuk yang lain-lain, mereka boleh bantu uruskan. Lagipun, sudah dua kali si kecil itu muntah darah. Takut pula apa-apa terjadi kepadanya sewaktu orang lain tiada.
Maka aku melangkah ke Wad 3 ditemani sepupuku. Mungkin sesuatu yang tidak ku fikirkan berlaku lagi........