>

Sunday, November 3, 2013

Jadi Wanita.

Sejak rumah ni kakak masukkan Astro, makin banyak ilmu yang aku dapat. Khususnya ilmu memasak. Rancangan wajib tonton antaranya adalah baking. Chef Anna Olson paling best. Tersangat banyak ilmu dan tips. Dari aku tak tahu meringue tu apa, sampai boleh buat hari-hari (cewah). Dan kalau takat creme brulee tu, sebenarnya mudah kalau kita tahu tekniknya.

Dulu rumah ni tak ada oven. Jadi niat nak mem'baking' tak membara sangat. Lepas Waleed beli oven, hari-hari rasa nak mem'baking'. Buat pizza dah umpama rutin dah. Asal bosan je, adun doh pizza. Sejam setengah satgi siaplah. Haha. *Mudah je kalau datang mood. (And of course, kalau Allah izinkan).

Dan terima kasih jugak pada mereka- mereka yang rajin share resipi online. Hakikatnya, sejak tukar guna smartphone ni, semua bookmark dan saved pages adalah recipe. Hehe.

Suka aku nak share blog Masam Manis ni. Sarat dengan ilmu yang mudah diaplikasi. Tips untuk google resipi:

1. Cari resipi dari blog/ page dalam negara. Supaya tak susah untuk kita cari bahan-bahan.
2. Tapi, untuk teknik memasak, boleh cuba google blog/ page luar negara. *Luas sikit pemandangan. Haha. Baca banyak-banyak blog. Dah hadam baru buat. Jadi taklah tersilap langkah.

Hey, jom jadi wanita! Haha. ;)

Tuesday, September 3, 2013

Siapa tahu..

19 Ogos 2013.
Hujan perlahan- lahan membasahi kereta. Melintasi susur ke Sekolah Sri Puteri, Cyberjaya hujan betul- betul lebat.

****

Pagi itu aku ditemani mak, menuju ke sekolah lama adik. Mahu bercerita tentang kehidupan di Mesir kepada junior katanya. Mak memang takkan mahu menolak permintaan anak-anaknya. Meredah kebanjiran orang- orang yang mahu menuju ke pejabat masing- masing. Tak sangka jalan ke Banting masih kekal dalam ingatan. Dua tahun lalu kerap sangat kami mengharungi jalan ini. Menghantar barangan keperluan kepada adik tiap- tiap minggu.

****

Sebelum keluar rumah tadi, mak sangat bergegas. Adik sudah menunggu katanya. Sekarang mak sudah tertidur di kerusi kiriku. Di lorong paling kanan, pedal minyak aku tekan sedikit. Adik sedang menunggu.

Tiba- tiba kereta lari dari laluannya. Seakan mahu merempuh pokok pembahagi jalan kanan.

"Astaghfirullah.. Ummi.. Ummi...."

Semua arahan aku diabaikan oleh kereta ini. Aku kilas ke kiri, mahu mengelak pokok di kanan jalan. Kereta berpusing. Laju. Semua terlintas serentak dalam fikiran. Solat zohor sudah aku tunaikan, alhamdulillah. Kalau ini cara aku mati ya Allah, aku redha. Saat itu, aku cuma menunggu di mana kereta ini akan menghentak supaya ia berhenti berputar.

Damm. Langgar pembahagi kiri jalan. Berhenti. Allahu. Tak sangka mata ini masih celik. Aku pandu kereta ke bahu jalan. Menangis. Allah. Aku masih hidup. Aku masih diberi peluang. Allah. Untuk setiap dosaku, aku menangis.

Segera aku paling untuk melihat Ummi. Ummi bergerak, alhamdulillah. Tapi mulutnya penuh darah. Aku menangis lagi. Semakin tak keruan melihat Ummi dalam kecederaan begitu. Sedih, kasihan, serba salah, semuanya datang sekali gus.

"sorry, Ummi. Sorry..."

****

Kita takkan tahu bila kita akan dipanggil Dia. Bersyukurlah atas setiap detik yang Dia anugerahkan untuk kita. Dan semoga kita gunakan setiap detik sebaiknya. Waktu di dunia ni saja yang kita ada untuk beramal. Di sana nanti waktu menunggu balasan. Allah.

Wednesday, June 26, 2013

E-Day

Hari ini harinya. Cinta yang lama disulam tak bertali, kini akan diikat dengan persetujuan kedua belah keluarga. Baju cantik sudah ditempah. Penuh manik di badan. Melekat menampakkan bentuk tubuh. Apa guna ada tubuh yang cantik kalau tak diperaga bukan? Lagipun ini cuma majlis bersama keluarga kami dan keluarga lelaki sahaja. Bedak, celak, eye shadow, eye liner semuanya siap dioles mak andam dari pekan. Cantik. Memang cantik. Kalau hari ini tak jadi bertunang pun, pasti boleh dapat calon yang lain, kerana cantik.

Tak lupa, pelamin untuk bergambar nanti sudah siap dipasang. Sedondon semuanya dengan baju, dan barangan hantaran. Dua bentuk cincin telah disiapkan oleh pihak lelaki. Cincin merisik, dan cincin bertunang. Kami dah sepakat, waktu berbincang nanti si lelaki tak perlu hadir. Menggatal namanya kalau datang juga. Dah tak sabar sangat nanti nampaknya. Bila dah selesai semua barulah dia datang, menjamu selera bersama.

Usai sahaja perbincangan kedua belah pihak, kaum adam pakat keluar. Di tinggalkan saja anak-anak perempuan dan kaum hawa di dalam rumah. Tinggal 'kerja orang perempuan' saja. Sarung cincin, bergambar, dan sebagainya. Sebelum si lelaki pergi menjamu selera, rakan-rakan kami semua mengusik. Diajak si lelaki masuk dahulu, bergambar. Jurugambar pun tak kurang hebatnya, disuruh duduk repat-rapat, untuk simpanan keluarga masing-masing sahaja katanya. Disuruh pegang tangan, kami pegang. Di suruh anjak ke jambak bunga, kami anjak. Dia lebih pakar tentang fotografi. Kami ikutkan saja.

***********

Hmm. Ada rasa pelik tak? Rasa macam tak pelik. Tapi rasa mintak pelempang. Haihh. Trending orang sekarang bertunang. Menyampah rasa. Patutnya tukar jadi majlis akad je terus. Grrr. Maaf ye, marah minggu lepas tengok sepupu bertunang tak habis lagi. Sampai tok wan, pak long, semua nampak betapa marahnya aku. Pada semua aku tanya, kenapa buat itu, kenapa buat ini. Benda-benda yang tak patut semua dibiarkan saja. Sampai aku rasa majlis kahwin aku nanti semua orang boikot. Haha.

Adat kemain diangkat oleh ummat hari ini. Sedih. Banyak benda yang perlu diubah pada adat harini. Kenapa si lelaki tak perlu hadir waktu perbincangan sedangkan yang akan berlangsung nanti adalah majlis untuk dia? Kenapa kaum adam tinggalkan isteri dan anak-anak perempuan tak terjaga selepas habis perbincangan? Biarkan mereka lalai dan mengizinkan perkara yang tidak halal? Kenapa disusahkan badan dengan menggubah hantaran yang selepas itu cuma akan dibuang? Purata wang gubah hantaran sekarang RM90 satu dulang. Dan selepas dijamah isinya, bunga-bunga, bakul, riben pada hantaran cuma dibuang. Sedih. Lain kali balut dengan pembalut hadiah saja. Tak perlu timbul rasa riak kemudian hari, tak perlu banyak pembaziran lagi lain kali. Allahu.

Semoga yang membaca semua dapat tarik nafas, fikir panjang-panjang tentang masa hadapan. :)

Friday, June 14, 2013

Mahu sedekah, mahu duit bertambah.

Aku cemburu lihat ayah yang boleh menghulur pada siapa pun, lebih-lebih lagi kepada rakan-rakannya. Dan pada hemat aku, kawan-kawannya bukanlah yang jenis baik-baik yang boleh untuk aku anggap sebagai teman sehidup semati. Kerana hakikatnya, bila dia senang, dia akan pergi bersama teman-teman yang lain. Bila waktu 'kering', senyum kerang busuknya akan banyak kelihatan timbul dari lautan kesamaran.

Tapi ayah tetap ayah. Dia masih memberi.

Hati ini keras. Di simbah banyak mana hadis tentang bersedekah sekalipun, aku tetap aku. Duit yang aku cari, aku yang punya. Tapi entah bagaimana, suatu hari aku berniat mahu memberi. Aku memberi secara dalam talian. Aku masih ingat amaunnya, dan wang itu aku salurkan buat seseorang yang menghidap penyakit. Dan kemudian, wang seterusnya aku salurkan buat satu badan dakwah.

Dahulu aku menunggu pulangan satu dibayar sepuluh yang Allah janjikan buat mereka yang memberi. Lama aku tunggu. Buat penawar hati keras yang aku patahkan sedikit untuk cuba memberi, aku menunggu lagi.

Dompet aku tidak juga penuh. Mana pergi duitnya?

Suatu hari aku dan kawan-kawan menuju ke medan selera, mahu makan malam. Kami memang selalu bungkus saja, makan di bilik lebih selesa. Waktu dalam perjalanan pergi, aku meluahkan rasa..

"Hari ni nak makan kuey tiow. Nak mintak telur mata lah. Mahal tak jadinya? Kalau dapat double pulak, hai sedapnya."

Ya, aku memang cerewet tentang wang. Mungkin sebab itu juga aku berat untuk memberi. Sampai di kedai, aku minta seperti yang aku mahu. Kuey tiow dan telur mata, bungkus.

Naik ke bilik, kami berkumpul untuk makan bersama di ruang tengah bilik. Buka saja polisterin, aku terkejut. Betul telur double! Ini lah nikmat sebenar. Bukan pada wang.

Menangis sikit dapat telur double tu. Romantik betul Dia buat seprais gini. Hehh. :)

Thursday, June 13, 2013

Kerana dia lelaki itu.

Dia pernah mengayuh basikal selepas usai solat Isya' di surau sana. Bukan untuk pulang ke rumah. Tetapi kerana mahu teruskan usahanya. Rumah kanak-kanak di hujung kampung belum dia jejak untuk hari ini. Mengajar fardhu 'ain untuk anak-anak kampung. Siapa yang tinggal di kawasan Kulim dan Serdang pasti tahu betapa seramnya melalui jalan kampung Kulim-Selama, tiada lampu, dan jarang ada kenderaan menggunakannya. Itu sekarang, bayangkanlah bagaimana situasinya 20 tahun lalu. Tapi, demi agamanya, dia rela.

Suatu hari, aku ternampak dia berborak lama dengan seorang pakcik tua di surau di Serdang sana. Bila ditanya, siapa lelaki tua tersebut, dia cuma jawab itu kawan lamanya. Aku tergelak. Aku sangka lelaki tua tersebut adalah sahabat ayahnya. Tapi tidak! Itu adalah sahabatnya.

Dia pernah kata "kawan Waleed dulu semuanya tua-tua. Pak bilal, Tok Imam, pak cik- pak cik..". Katanya, dia tak reti cara berborak orang muda. Ya, aku kagum dengannya. Kalau mahu dibandingkan hidupnya dengan aku sekarang, jauh sangat bezanya. Dia dulu hidup susah. Banyak benda yang dia mahu, tapi tak dapat. Kesannya sampai hari ini aku rasakan. Apa sahaja yang kami minta, pasti dia cuba untuk tunaikan. Kerana dia tak mahu kami merasa kecewa sepertinya dulu.

Ya, dia ayahku. Lelaki istimewa dalam hidupku.

Lama selepas aku berubah dulu, dia pernah cerita. "Waleed dulu malu nak jalan dengan anak-anak Waleed kalau kamu semua pakai seluar. Orang perempuan tak manis berseluar." Ya, kata-kata itu aku pegang sampai hari ini. Jeans yang dulu semua aku buang. Untuk memakai seluar track pun, aku berfikir banyak kali. Tapi itu juga hakikat yang kita sama-sama perlu lalui. Sekolah mana hari ini yang pelajar perempuannya tidak berseluar, cuma memakai kain dalam setiap aktiviti? Tidak ada. Sebab itu juga aku terbiasa dengan suasana berseluar dahulu. Pergi sekolah pun, dalam kain pakai seluar panjang.

Hinanya aku menjadi anak bagi insan sebaik dia. Ya, hinanya aku.
Kerana dia lelaki itu, takkan aku mahu terus begini?

Thursday, May 30, 2013

Being generous.

Pasar  Malam.

Sepasang suami dan isteri yang cacat penglihatan dapat ku lihat dari jauh. Mana tidaknya, mereka duduk di tengah jalan. Aku lihat pada wang yang ada, wajah pakcik tadi dan gerai ayam goreng silih ganti ku pandang. Ah. Kalau aku bagi pakcik tu, tak dapat beli ayam goreng nanti. Serta merta aku berlagak tidak perasan pada pasangan tadi semasa melintasi mereka. Tapi di dalam hati, aku harap tidak ada manusia yang perasan, lalu mengatakan aku kedekut. Padahal sebenarnya memang itu yang sebenarnya.

Jejantas Komuter Serdang.

Siapa sahaja yang biasa dengan tempat ini pasti kenal dengan pakcik berbangsa india yang kudung kakinya. Dari aku Asasi lagi, dia sudah sedia duduk di situ. Itu kira-kira 4 tahun yang lepas. Dan hujung kaki kudungnya masih dibalut. Kadang-kadang dengan tompokan merah darah. Kalau mahu dihitung dengan akal waras, tak mungkinlah lukanya masih belum sembuh. 4 tahun! Dan dia cuma duduk di situ, memegang sebuah bekas plastik, diisi dengan beberapa keping wang syiling supaya dapat mengeluarkan bunyi apabila digoncang. Dan bila saja ada yang menghulurkan wang kertas, dia akan terus menyimpannya. Lalu apa yang perlu aku fikirkan selain 'pak cik tu pemalas'? Maka, untuk aku turut menghulurkan sedikit wang, jauh sekali.

Bazaar Ramadhan, Seri Serdang.

Tempat ini adalah tempat kegemaranku sepanjang berpuasa di kolej. Ini lah tempatnya untuk menghadap selain dari nasi goreng tawar, menghidu selain dari ayam kering, dan kemudiannya menjamah selain dari tomyam minyak. Di celah-celah orang ramai, ada seorang kanak-kanak berjalan dengan sekeping kertas, beg silang, dan wajah yang sayu. Wajah itu sangat aku kenali. Wajah memohon belas. Wajah itu selalu aku lihat di kaca tv, popular dalam tempoh bercakap tentang sindiket kanak-kanak yang dipaksa untuk meminta sedekah. Memikirkan perkara yang sama mungkin terjadi pada kanak-kanak tersebut, tak mungkin aku mahu turut terlibat untuk menggalakkan sindiket begitu. Jadi kanak-kanak tersebut turut aku abaikan.

**********
Akhirnya, pada siapa aku mahu memberi kalau tiap kali aku lari? Sedangkan janji Allah itu pasti. Satu kita bagi, sepuluh pulangan dijanji. Siapa aku untuk merasa sombong dengan tawaran sehebat itu? Sudah banyakkah pahala? Sudah penuhkah amalan? Sudah tersediakah syurga?

Allahu.

Sungguh aku lemah. Fikiran akal tidak selalunya benar. Kerana kita cuma manusia. Fikiran akal dari jiwa yang penuh keimanan saja mampu menjadi penunjuk jalan.

Yang utama adalah niat kita. Kalau pun kita ditipu, penanggung dosa tersebut bukan kita. Tapi kalau mereka tidak menipu? Mahukah kita cuma melihat?


Saturday, January 12, 2013

Rindu lagi.

Saya rindu mahu menulis! 

Tiap kali menulis, pasti semuanya sekerat jalan. Kemudian ctrl+A, dan delete. Entah kenapa. :(

Saya sangat rindu pada semua. Rindu mahu tulis laju-laju. Rindu mahu kongsi rasa, kongsi ilmu. Tapi mana hati? Siapa ada jumpa hati saya, sila pulangkan ya. :(


sadid sigaraga