>

Wednesday, June 26, 2013

E-Day

Hari ini harinya. Cinta yang lama disulam tak bertali, kini akan diikat dengan persetujuan kedua belah keluarga. Baju cantik sudah ditempah. Penuh manik di badan. Melekat menampakkan bentuk tubuh. Apa guna ada tubuh yang cantik kalau tak diperaga bukan? Lagipun ini cuma majlis bersama keluarga kami dan keluarga lelaki sahaja. Bedak, celak, eye shadow, eye liner semuanya siap dioles mak andam dari pekan. Cantik. Memang cantik. Kalau hari ini tak jadi bertunang pun, pasti boleh dapat calon yang lain, kerana cantik.

Tak lupa, pelamin untuk bergambar nanti sudah siap dipasang. Sedondon semuanya dengan baju, dan barangan hantaran. Dua bentuk cincin telah disiapkan oleh pihak lelaki. Cincin merisik, dan cincin bertunang. Kami dah sepakat, waktu berbincang nanti si lelaki tak perlu hadir. Menggatal namanya kalau datang juga. Dah tak sabar sangat nanti nampaknya. Bila dah selesai semua barulah dia datang, menjamu selera bersama.

Usai sahaja perbincangan kedua belah pihak, kaum adam pakat keluar. Di tinggalkan saja anak-anak perempuan dan kaum hawa di dalam rumah. Tinggal 'kerja orang perempuan' saja. Sarung cincin, bergambar, dan sebagainya. Sebelum si lelaki pergi menjamu selera, rakan-rakan kami semua mengusik. Diajak si lelaki masuk dahulu, bergambar. Jurugambar pun tak kurang hebatnya, disuruh duduk repat-rapat, untuk simpanan keluarga masing-masing sahaja katanya. Disuruh pegang tangan, kami pegang. Di suruh anjak ke jambak bunga, kami anjak. Dia lebih pakar tentang fotografi. Kami ikutkan saja.

***********

Hmm. Ada rasa pelik tak? Rasa macam tak pelik. Tapi rasa mintak pelempang. Haihh. Trending orang sekarang bertunang. Menyampah rasa. Patutnya tukar jadi majlis akad je terus. Grrr. Maaf ye, marah minggu lepas tengok sepupu bertunang tak habis lagi. Sampai tok wan, pak long, semua nampak betapa marahnya aku. Pada semua aku tanya, kenapa buat itu, kenapa buat ini. Benda-benda yang tak patut semua dibiarkan saja. Sampai aku rasa majlis kahwin aku nanti semua orang boikot. Haha.

Adat kemain diangkat oleh ummat hari ini. Sedih. Banyak benda yang perlu diubah pada adat harini. Kenapa si lelaki tak perlu hadir waktu perbincangan sedangkan yang akan berlangsung nanti adalah majlis untuk dia? Kenapa kaum adam tinggalkan isteri dan anak-anak perempuan tak terjaga selepas habis perbincangan? Biarkan mereka lalai dan mengizinkan perkara yang tidak halal? Kenapa disusahkan badan dengan menggubah hantaran yang selepas itu cuma akan dibuang? Purata wang gubah hantaran sekarang RM90 satu dulang. Dan selepas dijamah isinya, bunga-bunga, bakul, riben pada hantaran cuma dibuang. Sedih. Lain kali balut dengan pembalut hadiah saja. Tak perlu timbul rasa riak kemudian hari, tak perlu banyak pembaziran lagi lain kali. Allahu.

Semoga yang membaca semua dapat tarik nafas, fikir panjang-panjang tentang masa hadapan. :)

Friday, June 14, 2013

Mahu sedekah, mahu duit bertambah.

Aku cemburu lihat ayah yang boleh menghulur pada siapa pun, lebih-lebih lagi kepada rakan-rakannya. Dan pada hemat aku, kawan-kawannya bukanlah yang jenis baik-baik yang boleh untuk aku anggap sebagai teman sehidup semati. Kerana hakikatnya, bila dia senang, dia akan pergi bersama teman-teman yang lain. Bila waktu 'kering', senyum kerang busuknya akan banyak kelihatan timbul dari lautan kesamaran.

Tapi ayah tetap ayah. Dia masih memberi.

Hati ini keras. Di simbah banyak mana hadis tentang bersedekah sekalipun, aku tetap aku. Duit yang aku cari, aku yang punya. Tapi entah bagaimana, suatu hari aku berniat mahu memberi. Aku memberi secara dalam talian. Aku masih ingat amaunnya, dan wang itu aku salurkan buat seseorang yang menghidap penyakit. Dan kemudian, wang seterusnya aku salurkan buat satu badan dakwah.

Dahulu aku menunggu pulangan satu dibayar sepuluh yang Allah janjikan buat mereka yang memberi. Lama aku tunggu. Buat penawar hati keras yang aku patahkan sedikit untuk cuba memberi, aku menunggu lagi.

Dompet aku tidak juga penuh. Mana pergi duitnya?

Suatu hari aku dan kawan-kawan menuju ke medan selera, mahu makan malam. Kami memang selalu bungkus saja, makan di bilik lebih selesa. Waktu dalam perjalanan pergi, aku meluahkan rasa..

"Hari ni nak makan kuey tiow. Nak mintak telur mata lah. Mahal tak jadinya? Kalau dapat double pulak, hai sedapnya."

Ya, aku memang cerewet tentang wang. Mungkin sebab itu juga aku berat untuk memberi. Sampai di kedai, aku minta seperti yang aku mahu. Kuey tiow dan telur mata, bungkus.

Naik ke bilik, kami berkumpul untuk makan bersama di ruang tengah bilik. Buka saja polisterin, aku terkejut. Betul telur double! Ini lah nikmat sebenar. Bukan pada wang.

Menangis sikit dapat telur double tu. Romantik betul Dia buat seprais gini. Hehh. :)

Thursday, June 13, 2013

Kerana dia lelaki itu.

Dia pernah mengayuh basikal selepas usai solat Isya' di surau sana. Bukan untuk pulang ke rumah. Tetapi kerana mahu teruskan usahanya. Rumah kanak-kanak di hujung kampung belum dia jejak untuk hari ini. Mengajar fardhu 'ain untuk anak-anak kampung. Siapa yang tinggal di kawasan Kulim dan Serdang pasti tahu betapa seramnya melalui jalan kampung Kulim-Selama, tiada lampu, dan jarang ada kenderaan menggunakannya. Itu sekarang, bayangkanlah bagaimana situasinya 20 tahun lalu. Tapi, demi agamanya, dia rela.

Suatu hari, aku ternampak dia berborak lama dengan seorang pakcik tua di surau di Serdang sana. Bila ditanya, siapa lelaki tua tersebut, dia cuma jawab itu kawan lamanya. Aku tergelak. Aku sangka lelaki tua tersebut adalah sahabat ayahnya. Tapi tidak! Itu adalah sahabatnya.

Dia pernah kata "kawan Waleed dulu semuanya tua-tua. Pak bilal, Tok Imam, pak cik- pak cik..". Katanya, dia tak reti cara berborak orang muda. Ya, aku kagum dengannya. Kalau mahu dibandingkan hidupnya dengan aku sekarang, jauh sangat bezanya. Dia dulu hidup susah. Banyak benda yang dia mahu, tapi tak dapat. Kesannya sampai hari ini aku rasakan. Apa sahaja yang kami minta, pasti dia cuba untuk tunaikan. Kerana dia tak mahu kami merasa kecewa sepertinya dulu.

Ya, dia ayahku. Lelaki istimewa dalam hidupku.

Lama selepas aku berubah dulu, dia pernah cerita. "Waleed dulu malu nak jalan dengan anak-anak Waleed kalau kamu semua pakai seluar. Orang perempuan tak manis berseluar." Ya, kata-kata itu aku pegang sampai hari ini. Jeans yang dulu semua aku buang. Untuk memakai seluar track pun, aku berfikir banyak kali. Tapi itu juga hakikat yang kita sama-sama perlu lalui. Sekolah mana hari ini yang pelajar perempuannya tidak berseluar, cuma memakai kain dalam setiap aktiviti? Tidak ada. Sebab itu juga aku terbiasa dengan suasana berseluar dahulu. Pergi sekolah pun, dalam kain pakai seluar panjang.

Hinanya aku menjadi anak bagi insan sebaik dia. Ya, hinanya aku.
Kerana dia lelaki itu, takkan aku mahu terus begini?

sadid sigaraga