Habis mengaji dengan si ayah, anak perempuan berumur 5 tahun itu menapak mendekati aku. Si adik masih duduk bersama ayahnya. Masih belajar qiraati. Baju merah jambunya diambil dan dilipat, membantu aku. Tiba- tiba satu soalan terpacul dari mulut genitnya.
"Ummi, macam mana ummi boleh kahwin dengan Waleed?"
Oh. Budak- budak zaman sekarang ni maju betul fikirannya.
"Sebab Afaf nak suami macam Waleed jugak. Baik. Pandai masak. Pandai ajar kitorang baca Quran. Pandai ajar kitorang buat kerja rumah.."
Aku tergelak sendiri sebelum menjawab soalan pertama anak ini.
"Ummi tak kenal pun. Nenek kamu yang tengokkan."
"Eh. Ummi kata jangan cakap dengan orang yang kita tak kenal. Macam mana Ummi pulak boleh kahwin dengan orang yang tak kenal?"
Susah juga soalan ni. Ishk.
REWIND
"Saya datang bawa hajat. Nak meminang anak mak cik."
Waktu itu dia datang berdua, dengan pak ciknya. Aku pun belum pasti dari mana dia tahu alamat rumah ini. Atau mungkin dia tersalah rumah.
"Anak mak cik yang mana? Mak cik ada 7 anak perempuan."
Soalan menguji dari ibuku. Aku memasang telinga. Mahu mendengar nama apa yang bakal dia sebut. Nama penuh atau nama panggilan. Segalanya membawa erti yang berbeza.
"Afeefa. Saya tak silap rumah kan mak cik?"
Sempat pula dia menduga. Ishk.
"Nanti mak cik tanya tuan badannya."
Ibu cepat-cepat ke dapur mendapatkan aku. Segalanya ditanya. Siapa lelaki tersebut. Kenal dari mana. Budak mana. Agamanya bagaimana. Belajar atau masih kerja.
Tapi aku katakan memang aku tak pernah kenal dengannya. Aku juga tak pasti dari mana dia mengenaliku.
Kata putus buat masa itu, aku katakan kepada ibu. Bagi masa seminggu nak fikir-fikir. Sementara itu, ayahku di masih melakukan proses taaruf dengan lelaki tersebut.
Setelah mereka pulang, ayahku menyampaikan dengan jujur.
"Budak tu nampak baik. Beradab. Janggut pun panjang. InsyaAllah elok. Istikharah lah dulu."
Jawapan kepada istikharah itulah yang membawa aku ke masa ini. Yang membawa kepada kebahagiaan di dunia, dan insyaAllah juga kebahagiaan di akhirat.
SOALAN SI ANAK
Aku terfikir lagi, apa agaknya jawapan terbaik untuk anak ini?
"Ummi tak kenal, tapi Allah yang kenalkan. Ummi yakin pada Allah, maka Allah berikan apa yang terbaik."